1
12 Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya.
book-open-2 READ

Firman menjadi manusia

1Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah. 2Dia bersama Allah pada permulaan. 3Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya. 4Hidup ada dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. 5Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya. 6 Allah mengutus seorang bernama Yohanes. 7Dia datang untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia. 8Dia sendiri bukanlah cahaya itu, dia datang untuk memberikan kesaksian tentang-Nya. 9Itulah cahaya benar yang menerangi setiap manusia, sedang mendatangi dunia. 10Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya. 11Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya. 12Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya. 13Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah. 14Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran. 15Yohanes memberikan kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, "Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku." 16Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia demi kasih kurnia; 17kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Yesus Kristus. 18Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Dia Yang Esa, yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.

2
19 Yesus menjawab, "Robohkanlah Bait Suci ini, akan Kubina semula dalam tiga hari."
book-open-2 READ

Yesus menyucikan Bait Suci

12 Setelah itu, Yesus bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan murid-murid-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari. 13 Ketika Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Yesus pergi ke Yerusalem. 14Di dalam Bait Suci Dia mendapati orang berjual beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ. 15Yesus membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari Bait Suci. Dia juga menghamburkan wang pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka. 16Dia berkata kepada penjual burung merpati, "Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!" 17Para murid-Nya teringat bahawa telah tersurat: "Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!" 18Orang Yahudi menyoal Yesus, "Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?" 19 Yesus menjawab, "Robohkanlah Bait Suci ini, akan Kubina semula dalam tiga hari." 20"Pembinaan Bait Suci ini mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?" tanya orang Yahudi kepada-Nya. 21Sebenarnya, Bait Suci yang dimaksudkan oleh Yesus itu ialah tubuh-Nya sendiri. 22Apabila Yesus bangkit daripada kematian, murid-murid-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Yesus. 23Sewaktu Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah, ramai orang yang percaya kepada nama-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. 24Namun demikian, Yesus tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia. 25Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.

3
16 Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.
book-open-2 READ

Yesus mengajar Nikodemus

1Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus. 2Dia mengunjungi Yesus pada suatu malam lalu berkata, "Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya." 3Yesus menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah." 4Nikodemus bertanya, "Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!" 5Yesus menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah. 6Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh. 7Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. 8Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus." 9Nikodemus bertanya, "Bagaimana hal itu boleh berlaku?" 10Yesus menjawab, "Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini? 11Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. 12Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga? 13Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. 14 Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat 15supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal. 16Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. 17Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan. 18Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah. 19Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. 20Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. 21Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah."

4
14 tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya.
book-open-2 READ

Yesus bercakap dengan perempuan Samaria

1Ketika Yesus mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan membaptis lebih ramai murid berbanding dengan Yohanes, 2(sebenarnya para murid Yesus yang membaptis, bukan Yesus), 3Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula. 4Dalam perjalanan-Nya itu, Yesus semestinya melalui Samaria. 5 Di Samaria, Yesus sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. 6Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Yesus duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam keenam. 7Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, "Berilah Aku minum." 8Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. 9 Perempuan Samaria itu menjawab, "Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?" (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.) 10Yesus menjawab, "Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, 'Berilah Aku minum,' tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup." 11Perempuan itu berkata, "Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? 12Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini." 13Yesus berkata, "Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; 14tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal." 15Perempuan itu berkata, "Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air." 16Yesus menjawab, "Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari." 17Perempuan itu berkata, "Aku tidak ada suami." Yesus pun berkata, "Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. 18Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu." 19Perempuan itu berkata, "Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. 20Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem." 21Yesus berkata, "Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem. 22Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. 24Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran." 25Perempuan itu berkata, "Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya." 26Yesus berkata kepada perempuan itu, "Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu." 27Pada ketika itu para murid Yesus pulang ke situ. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, "Apa hajatmu?" atau kepada Yesus, "Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?" 28Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. 29Perempuan itu berkata, "Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu Kristus?" 30Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Yesus. 31Sementara itu, para murid Yesus menggesa-Nya, "Rabbi, makanlah." 32Yesus menjawab, "Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui." 33Lalu para murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, "Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?" 34Yesus berkata, "Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. 35Bukankah kamu berkata, 'Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?' Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. 36Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. 37Dalam hal ini benarlah pepatah, 'Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.' 38Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya." 39Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, "Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan." 40Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari. 41Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya. 42Mereka berkata kepada perempuan itu, "Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia."

5
24 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.
book-open-2 READ

Kesaksian Yesus tentang diri-Nya

19Yesus menjawab mereka, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak, 20kerana Bapa kasih akan Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Anak-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Anak, sehingga kamu semua menjadi hairan. 21Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Anak-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya. 22Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya. 23Dengan demikian, semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Anak, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya. 24Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar. 25Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudah pun sampai, ketika orang mati mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. 26Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Anak-Nya juga sumber hidup. 27Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya, kerana Dia itu Anak Manusia. 28Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang di dalam kubur mendengar suara-Nya. 29Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum." 30"Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. 31Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, itu tidaklah wajar diterima sebagai bukti yang sah. 32Ada lain yang memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian yang disampaikan-Nya tentang-Ku itu benar.

6
35 "Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
book-open-2 READ

Roti hidup

25Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, "Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?" 26Yesus menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. 27Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya." 28Mereka bertanya kepada-Nya, "Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?" 29Yesus berkata, "Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya." 30Mereka bertanya kepada-Nya, "Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? 31Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: 'Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.' " 32Lalu Yesus berkata, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. 33Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia." 34Kemudian mereka berkata, "Tuhan, berilah kami roti itu selalu." 35Yesus berkata kepada mereka, "Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. 36Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. 37Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. 38Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. 39Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. 40Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Anak-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir." 41Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Yesus kerana kata-kata-Nya, "Akulah roti yang turun dari syurga." 42Mereka berkata, "Bukankah Dia Yesus, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, 'Aku turun dari syurga'?" 43Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Janganlah merungut sesama sendiri. 44Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. 45Ada tersurat dalam tulisan para nabi: 'Semua manusia akan diajar oleh Allah.' Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku. 46Tiada seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa. 47Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal. 48Akulah roti hidup. 49Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga. 50Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati. 51Akulah roti hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku." 52Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri, "Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?" 53Yesus berkata kepada mereka, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. 54Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. 55Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar. 56Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya. 57Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup. 58Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal." 59Demikianlah kata-kata Yesus ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.

8
12 "Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup."
book-open-2 READ

Yesus cahaya dunia

12 Yesus berkata lagi kepada mereka, "Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup." 13 Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Yesus, "Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah." 14Yesus menjawab, "Walaupun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. 15Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapa pun. 16Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adalah betul, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku. 17Ada tersurat dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah. 18Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberikan kesaksian tentang diri-Ku." 19Oleh itu, mereka bertanya, "Di manakah Bapa-Mu itu?" Yesus menjawab, "Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga." 20Yesus mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di Bait Suci. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.

9
3 "Bukan dosa dia dan bukan juga dosa ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya.
book-open-2 READ

Penyembuhan seorang lelaki yang buta sejak lahir

1Ketika Yesus sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir. 2Para murid-Nya bertanya, "Rabbi, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?" 3Yesus menjawab, "Bukan dosa dia dan bukan juga dosa ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya. 4Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang pun tidak dapat melakukan apa-apa lagi. 5Selama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia." 6Selepas itu, Yesus berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu. 7Yesus berkata kepadanya, "Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam" (Siloam bererti "diutus" dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat. 8Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, "Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?" 9Ada yang berkata, "Ya, dialah." Ada pula yang berkata, "Bukan, hanya serupa dengannya." Tetapi orang itu sendiri mengaku, "Akulah orang itu." 10Mereka bertanya kepadanya, "Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?" 11Dia menjawab, "Orang yang bernama Yesus telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, 'Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.' Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat." 12Mereka bertanya, "Di manakah orang itu?" Dia menjawab, "Aku tidak tahu."

10
11 Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.
book-open-2 READ

Ibarat tentang seorang gembala yang baik

7Oleh yang demikian, Yesus berkata, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. 8Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka. 9Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput. 10Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah. 11Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya. 12Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran. 13Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu. 14Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku, 15sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku. 16Aku miliki domba-domba lain yang bukan daripada kawanan ini. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. 17Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti. 18Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku." 19Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Yahudi berselisih pendapat lagi. 20Sebilangan besar berkata, "Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar kata-Nya?" 21Namun demikian, ada yang berkata, "Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?"

12
24 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
book-open-2 READ

Yesus memberitahu tentang kematian-Nya

20Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani. 21Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, "Tuan, kami ingin bertemu dengan Yesus." 22Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Yesus. 23Yesus berkata kepada mereka, "Sudah sampai masanya Anak Manusia dimuliakan. 24Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah. 25Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal. 26Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa."

13
34 Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
book-open-2 READ

Yesus memperkatakan tentang pengkhianatan-Nya

31Setelah Yudas pergi, Yesus berkata, "Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya. 32Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia dalam diri-Nya segera. 33Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, 'Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.' 34Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. 35Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku."

14
6 "Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.
27 Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia.
book-open-2 READ

Akulah jalan, kebenaran dan hidup

1"Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. 2Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. 3Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. 4Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi." 5Tomas berkata kepada Yesus, "Tuhan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?" 6Yesus menjawab, "Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. 7Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya." 8Filipus berkata kepada Yesus, "Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami." 9Yesus menjawab, "Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, 'Tunjukkanlah Bapa kepada kami?' 10Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. 11Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan. 12Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. 13Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Anak-Nya. 14Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan."

Yesus menjanjikan Roh Kebenaran

15"Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku. 16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. 17Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap di dalammu dan akan ada di dalam dirimu. 18Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu. 19Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab Aku hidup, kamu juga akan hidup. 20Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu. 21Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya." 22Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, "Tuhan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?" 23Yesus menjawab, "Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. 24Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku. 25Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. 26Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. 27Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut. 28Kamu telah mendengar Aku berkata, 'Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.' Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku. 29Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku. 30Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa atas diri-Ku. 31Namun demikian, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini."

15
5 Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu.
13 Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.
book-open-2 READ

Pokok anggur yang benar

1"Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur. 2Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya berbuah lebih lebat lagi. 3Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu. 4Tetaplah di dalam-Ku seperti Aku di dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok anggur. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap di dalam-Ku. 5Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa. 6Sesiapa yang tidak tetap di dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar. 7Sekiranya kamu tetap di dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap di dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. 8Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar murid-Ku. 9Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. 10Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya. 11Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu. 12Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. 13Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya. 14Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan. 15Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu. 16Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. 17Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri."

17
14 Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini.
book-open-2 READ

Doa Yesus untuk murid-murid-Nya

1Setelah itu, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, "Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak-Mu dapat memuliakan Bapa. 2Engkau telah memberi Anak-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya. 3Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus. 4Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. 5Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersama-Mu sebelum dunia ini diwujudkan. 6Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu. 7Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu. 8Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku. 9Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. 10Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka. 11Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. 12Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa kecuali anak kebinasaan itu supaya terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci. 13Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. 14Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini. 15Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada si durjana. 16Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka. 17Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran. 18Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia. 19Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran. 20Aku bukan berdoa untuk mereka sahaja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka. 21Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. 22Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu. 23Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku. 24Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi. 25Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. 26Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh dalam hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka."

19
30 Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, "Sudah selesai." Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya.
book-open-2 READ

Kematian Yesus

28 Selepas itu, Yesus mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, lalu berkata, "Aku dahaga." 29Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah span dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas batang hisop dan mencecahkannya ke mulut Yesus. 30Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, "Sudah selesai." Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya. 31Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi. 32Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Yesus itu, seorang demi seorang. 33Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya. 34Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air. 35Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya. 36Semua ini dilakukan supaya terlaksanalah yang tersurat dalam Kitab Suci, "Tidak ada satu pun tulang-Nya akan dipatahkan." 37Juga tersurat dalam Kitab Suci, "Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka."

20
19 Yesus berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, "Damai sejahtera kepada kamu!"
book-open-2 READ

Yesus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya

19Pada hari minggu itu, setelah petang, para murid Yesus berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Yesus berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, "Damai sejahtera kepada kamu!" 20Selepas itu, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka murid-murid itu pun bersukacita melihat Tuhan. 21Yesus berkata lagi kepada mereka, "Damai sejahtera kepada kamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu." 22Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, "Terimalah Roh Kudus. 23Sesiapa yang kamu ampunkan dosanya, dosanya diampunkan. Sesiapa yang tidak kamu ampunkan dosanya, dosanya tidak akan diampunkan."